Bintang Thailand, Chanathip Songkrasin mahu pasukannya berwaspada terhadap kelibat pemain sayap JDT, Safawi Rasid apabila mereka bakal bertemu pada perlawanan ketiga AFC Champions League 2022 (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Bekas pemain Hokkaido Sapporo itu pernah bertemu Safawi secara peribadi ketika saingan Piala AFF Suzuki di Singapura pada tahun lepas. Chanathip atau lebih dikenali dengan nama Messi Jay itu turut mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Safawi yang terpaksa dikeluarkan ketika berdepan Indonesia akibat kecederaan tangan.

Beliau yang kini beraksi dengan pendahulu J.League, Kawasaki Frontale tekad memberikan aksi terbaik untuk memastikan pasukannya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan menentang JDT.

“JDT adalah pasukan yang terbaik di Malaysia. Mereka telah buktikan kemampuan di peringkat tertinggi dan mempunyai kelebihan di halaman sendiri.

“Mereka juga ada beberapa pemain tempatan berkualiti yang saya kenal dengan baik. Pemain seperti Safawi Rasid sangat berbahaya, sudah tentu kami akan lakukan yang terbaik apabila berdepan mereka.

“Sepanjang karier bola sepak saya, keutamaan pasukan adalah segala-galanya, jadi sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, ini adalah perkara kedua berbanding memastikan pasukan mendapat tiga mata, dan kami mahu mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya kepada AFC.com.

Ketika perlawanan menentang Guangzhou FC, Chanathip mula mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia apabila melakukan aksi memukau mengelecek melepasi beberapa pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol pertama dalam saingan ACL musim ini.

“Sudah lama saya tidak bermain dalam AFC Champions League dan rasanya sangat hebat dapat kembali semula beraksi pada peringkat ini, pentas yang besar dan inilah salah satu sebab saya menyertai Kawasaki.

“Anda boleh rasai perbezaan berlatih di Kawasaki dan suasananya sangat baru bagi saya, dan sejujurnya, saya masih memerlukan masa untuk sesuaikan diri dengan suasana baru dalam kelab.

“Sangat penting untuk sesuaikan diri di sini. Untuk itu, saya perlu bekerja keras dan berharap dapat diturunkan dalam banyak perlawanan,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

TERKINI: Akibat ‘Tunjal’ Kepala Bergson, Pemain Guangzhou FC Ditamatkan Kontrak, Ketua Jurulatih Dipotong Gaji 3 Bulan

JDT Kutip RM425,455 Dari 2 Kemenangan, Peluang ‘Sailang’ MA Ranking Vietnam Dan Thailand

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16